Monday, May 3, 2010

Alam Kubur dan kematian


MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Setiap yang bernyawa tetap akan mati, begitulah juga manusia yang asal usulnya dijadikan daripada tanah, maka kepada tanahlah juga ianya akan dikembalikan. Setiap manusia itu telah mempunyai ketentuan ajal masing-masing. apabila kematian seseorang itu telah ditentukan, maka ajal itu pasti akan tiba, tidak terkemudian atau terdahulu dari tarikh yang ditetapkan. Itulah ketentuan daripada Allah yang tidak dapat diingkari oleh manusia.
Firman Allah S.W.T dalam Surah Thaahaa ayat 55 tafsirnya :

“Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan menggembalikan kamu dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi”.

Oleh itu ingatlah bahawa kematian itu tetap menemui kita, tiada siapa boleh lari daripadanya. Bukankah Allah S.W.T telah berfirman dalam Surah ‘Ali Imran ayat 180 tafsirnya :

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati”.

Kerana itu kita jangan terlalu asyik dengan kehidupan dunia ini sehingga lalai dan lupa akan akhirat, sedangkan akhirat itulah tempat kekal abadi. Di sinilah perlunya kepada peringatan, tetapi apakah manusia sedar akan peringatan-peringatan Allah S.W.T itu atau sengaja tidak mahu sedar. Di antara peringatan Allah S.W.T itu ialah seperti umur tua, beruban, kurang penglihatan, kurang pendengaran dan bermacam-macam lagi.


Tetapi berapa banyakkah manusia yang mengambil peringatan daripadanya? Kerana ada juga yang masih lalai dan alpa dengan kehidupan dunia ini, sedangkan sepatutnya kita melazimkan diri melakukan amal ibadat dan perkara berkebajikan


Dalam sebuah hadis, (daripada Muhammad al-Quradzi) menyatakan bahawa apabila sampai ajal seorang mukin, datanglah malaikat maut berkata : Sejahtera di atasmu wahai kekasih Allah. Allah mengirim salam padamu. Dalam surah an-Nahl : 32 dijelaskan, orang-orang yang bertakwa ialah mereka yang dimatikan dalam keadaan yang baik oleh para malaikat dengan mengucapkan kepada mereka, "Selamatlah kamu".

Diberitahu bahawa dari Abu Hurairah, Rasulullah ada bersabda menyatakan bahawa sesungguhnya orang yang beriman itu apabila hendak diambil rohnya, maka datanglah malaikat rahmat yang membawa sehelai sutera putih, lalu keluarlah daripadanya wangian. Wanginya lebih harum daripada bau kasturi, sehingga sebahagian mereka dapat menghidunya. Mereka menamakannya dengan sebaik-baik nama untuknya, sehingga mereka membawanya ke sebuah pintu daripada pintu langit.

Para malaikat bertanya, apakah bau-bauan ini didatangkan dari bumi. Setiap kali ia memasuki langit, penjaga pintu akan mengucapkan kata-kata seperti itu, sehingga dia bersama segala roh orang yang beriman.

Rasulullah menjelaskan bahawa roh seseorang yang beriman itu tidak akan dicabut, keluar daripada jasad sehinggalah Allah memperlihatkan tempatnya yang kekal kelak, iaitu di syurga.

Sesungguhnya, kematian bagi orang yang beriman itu adalah rehat daripada segala kedukaan dunia. Dalam keadaan seumpama ini, tidak ada sesuatu perkara yang ghaib, yang dinantikan oleh orang yang beriman, lebih baik daripada kematian.

Sesungguhnya, kehidupan di dunia ini pinjaman semata-mata. Orang yang bijak akan menjadikan dunia ini laluan semata-mata, seumpama tidak ubah orang yang menyemai, bakal dituai di akhirat kelak. Itulah orang yang mendapat hidayah Allah, mentaati perintah-Nya dan menjauhi segala larangannya.

Manusia hidup perlu berjuang. Mempunyai tanggungjawab yang mesti dipikul, untuk diri sendiri, keluarga, agama dan negara. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Yang terbaik menang, dan yang leka akan tinggal ke belakang. Itulah adat perjuangan. Kekayaan yang dimiliki, anggota tubuh badan yang dinikmati mesti digunakan sebaik mungkin, termasuk usia yang diberi.

Semuanya akan ditanya oleh Allah, untuk apa, bagaimana dan kenapa ia digunakan. Mereka yang terpesona dengan keindahan dunia akan hanyut di bawah tekanan dan kekangan nafsu. Kerana itu, selagi nyawa ada di badan, perjuangan mesti diteruskan.

Orang yang beriman, menggunakan segala amanah yang diberi oleh Allah sebaik mungkin, sentiasa bersedia menghadapi mati, lantaran mati itu boleh berlaku pada bila-bila masa menurut ketentuan Allah.

Sabda Rasulullah SAW..
”Setiap manusia yang mati akan terputus semua amalan, kecuali tiga perkara. Ilmu yang bermanfaat, sedkah dan doa anak yang soleh”



0 comments:

Post a Comment

Permata Hati

Permata Hati

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More