Tuesday, April 27, 2010

Rebutlah Gelaran Isteri Solehah



Semua pasangan suami isteri mengidamkan kehidupan rumahtangga yang bahagia, tetapi persoalannya di manakah letaknya kebahagiaan rumahtangga tersebut? Adakah dengan mempunyai kekayaan dan memiliki segala-galanya, kehidupan seseorang itu sudah dianggap bahagia? Berapa banyak sebenarnya kes penceraian yang berlaku setiap tahun di kalangan mereka yang kononnya mempunyai kemewahan hidup semakin ketara? Jadi di manakah kebahagiaan itu sebenarnya?

Kita selalu mendengar "syurga di bawah tapak kaki ibu", tetapi benarkah "syurga isteri di bawah tapak kaki suami?"

Dalam hal ini, berpandukan tafsir ayat oleh Al-Sheikh Abdul Rahman bin Nashir As-Sa'di r.h. berkata: "Tugas seorang isteri adalah menunaikan ketaatan kepada Allah dan taat kepada suaminya, kerana itulah Allah berfirman: Wanita solehah adalah yang taat, iaitu taat kepada Allah SWT, lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada di rumah atau di sampingnya". Iaitu taat kepada suami mereka bahkan ketika suaminya tidak ada, dia menjaga suaminya dengan menjaga dirinya dan harta suaminya. - (Taisir, Ayat 177)

Allah swt Maha Pemurah dan Penyayang ke atas hamba-hambanya. Bagi kaum wanita ada empat tiket untuk mereka masuk ke syurga, iaitu :-
i. Apabila mereka berjaya menjaga sembahyang fardhu,
ii. Puasanya di bulan Ramadhan,
iii. Ketaaatan kepada suami dan
iv. Kehormatannya.
Melalui empat perkara ini juga menyebabkan seseorang wanita itu boleh mencapai taraf solehah dan bertaqwa.

Begitu Penyayangnya Allah kepada insan yang bergelar wanita. Tetapi cuba kita renungkan kembali sejauh manakah kita telah berjaya meraih keempat-empat perkara ini dengan sebaik-baiknya. Sembahyang fardhu kebanyakannya tidak khusyuk. Semasa bersembahyang sahaja aurat ditutup tetapi selepas itu kita kembali dengan pakaian yang mendedahkan aurat. Puasa kita sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi mulut masih mengumpat. Ketaatan kepada suami dibuat sambil lewa malah suami kadangkala dijadikan seperti lembu yang diikat hidungnya dengan tali (disuruh membuat itu dan ini). Ada yang menjadi pelacur dan menjual maruahnya untuk mendapatkan wang.


Sepatutnya kita kena banyak menangisi diri yang gagal menunaikan amanah Allah itu. Rasulullah selepas di Isyrak Mikrajkan, baginda tidak henti-henti menangis kerana terlalu amat sedih dan sentiasa berdoa kepada Allah swt supaya kaum wanita dan umat-umat yang disayanginya diselamatkan dari azab api neraka. Bayangkanlah, baginda saksikan bahawa di dalam neraka itu 75% adalah terdiri dari kaum Hawa. Badan-badan kita akan disambar oleh api neraka dan terbakar rentung dan akan diperbaharui lagi daging-daging tubuh lalu dibakar lagi hingga mengikut sebanyak mana dosa yang telah kita lakukan itu. Beruntunglah bagi mereka-mereka yang beramal soleh. Wanita-wanita yang solehah akan disambut oleh 'wildan-wildan'nya (suami) diiringi dan serta diperelokkan kedudukannya di dalam syurga.

Bila diceritakan mengenai peribadi wanita bertaqwa dan solehah pastilah mereka-mereka ini mendapat pendidikan agama yang secukupnya. Bila ilmu telah dipelajari lantas terus diamalkannya. Maka jadilah mereka insan-insan yang terdidik untuk mentaati segala perintah Allah dan menjauhkan segala larangannya. Orang-orang yang banyak menangis kerana takutkan neraka Allah. Orang-orang yang sanggup berkorban apa saja demi kepentingan hari akhirat. Orang-orang yang sanggup hidup susah dengan berbagai ujian dan rintangan; tidak putus asa serta selalu ingat mati demi rindunya mereka untuk melihat wajah Allah swt dan Rasulullah.

Rebutlah pangkat wanita solehah yang bertaqwa kerana ianya tidak dapat dijual beli dengan dunia ini. Malahan tarafnya jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan apa jua pangkat nilaian di dunia ini. Semua kemegahan-kemegahan dunia ini tidak kekal lama dan biasanya kalau seseorang itu telah pencen ia akan kesepian dan dilupakan.

Seorang isteri yang solehah, dia akan melayani suaminya begitu baik sekali sebab itu merupakan tuntutan yang telah diwajibkan ke atasnya untuk dilaksanakan setelah diikat dengan ikatan ijab dan kabul. Inilah perbezaannya taraf seorang isteri dengan seorang pelacur di mana dia juga memberikan layanan yang baik kepada pelanggannya. Tetapi layanannya itu atas dasar untuk mendapatkan wang. Manakala seorang isteri yang solehah setiap perkara yang dilakukan semata-mata untuk mentaati Allah, demi untuk mendapat keredhaan-Nya.

Bila suami berhajat, hendaklah segera mendapatkannya dan tinggalkan kerja-kerja yang sedang dilakukan. Hiasilah diri dengan pakaian yang menarik, bersolek dan memakai bau-bauan. Jangan bimbangkan anak-anak yang menangis ketika itu kerana para malaikat sentiasa menjaga mereka sehingga kita selesai menunaikan amanah Allah terhadap suami kita dan mereka mendoakan semoga kita dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Generasi yang bakal mengamankan dunia!

Ramai juga kaum wanita hari ini berjaya melayani suaminya dengan baik tapi bila saja suami sebut hendak kahwin seorang lagi dia mula tarik muka empat belas, hempas itu, hempas ini malah boleh jadi perang besar. inilah yang dinamakan cinta nafsu. Dia mahu dia seorang sahaja menguasai kasih sayang suami. Padanya bermadu itu suatu yang hina dan tidak mengapa kalau si suami memiliki perempuan simpanan walau sebanyak manapun.

Seorang isteri yang bertaqwa, dia tidak peduli samada hidupnya terpaksa bermadu dua, tiga atau empat sekalipun sebab itu bukan urusannya malah sebuah ketentuan dari Tuhan untuk menguji sejauh mana keikhlasannya melayani suami. Dia tidak akan ambil kisah sekiranya suaminya mengecilkan hatinya malah di hati kecilnya akan sering berkata, "Ini tugas aku dengan Allah, aku mesti laksanakan". Akhirnya tidak timbul perkelahian bila bermadu bila setiap isteri telah faham dengan kedudukannya.

Hanya isteri solehah saja yang gembira bila dimadukan sebab suaminya telah menyelamatkan seorang lagi hamba Allah bila dikahwinkan. Bila seseorang itu telah berkahwin, InsyaAllah sembahyangnya akan lebih khusyuk kerana sebagagian dari agamanya telah diselamatkan. Di samping itu berkahwin juga boleh melembutkan hati dan menenangkan fikiran.

Untuk mencapai makam isteri yang solehah dan bertaqwa bukanlah semudah yang diucapkan. Kita mesti berusaha untuk mengikis sebanyak mungkin mazmumah yang terdapat dalam diri dan selalu berharap kepada Allah supaya dimasukkan sifat-sifat mahmudah dan dibantu ketika sedang bermujahadah di dalam menghadapi berbagai ujian.

Pecahkan hati dengan banyak menangis, bukan menangis kerana sayangkan harta dunia, dan sebagainya tetapi menangislah kerana takutkan azab Allah yang sangat pedih dan selalulah berindu-rindu untuk melihat wajah Allah. Sesiapa yang merindui Allah, Allah juga akan merinduinya dan Rasullah akan memberi syafaat kepada sesiapa yang merinduinya dan mereka akan bersama-samanya di dalam syurga kelak.

Banyakkan berselawat kepada baginda. Hanya baginda saja yang diberi keistimewaan untuk mengenali umat-umatnya sedangkan nabi-nabi lain gagal berbuat demikian. Berkat umat-umatnya yang bersungguh-sungguh menjaga tujuh anggota lahirnya (mata, telinga, perut, kemaluan, mulut, kaki dan tangan) dari berbuat maksiat dan mengamalkan sungguh-sungguh lima hukum (wajib, sunat, makruh, halal dan haram) yang telah Allah tetapkan. Hanya mereka-mereka ini sajalah yang akan bercahaya-cahaya di Padang Mahsyar kelak dan dipimpin oleh Rasulullah untuk menuju ke syurga

0 comments:

Post a Comment

Permata Hati

Permata Hati

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More